Saturday, 27 April 2013

PRU 13 - TOLAK DAP DAN BONEKANYA!

Inilah matlamat DAP yang akan lebih mudah tercapai melalui PAS dan PKR
Debaran PRU 13 akan terlerai pada 5 Mei 2013 apabila SPR bakal mengumumkan parti yang memenangi majoriti untuk membentuk Kerajaan. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan. BN yang sudah mentadbir negara hampir 56 tahun menghadapi tentangan daripada pakatan tidak berdaftar, Pakatan Rakyat dianggotai 3 parti pelbagai ideologi bertentangan    iaitu DAP, PKR dan PAS. Pakatan Rakyat yang jelas ditunjangi DAP dengan memperkudakan PAS dan PKR, parti majoriti ahlinya Melayu Islam. DAP tunjang PR kerana banyak perkara dasar PR dibayangi dan dipengaruhi DAP antaranya isu Kalimah Allah, pemecatan Presiden JATI daripada PAS, penentuan siapa Perdana Menteri jika PR memerintah negara serta DAP memiliki kerusi terbanyak PR di Parlimen pasca PRU 12.

Pada siri penulisan yang lalu, PRU 13- Melayu di Persimpangan Jalan! Rebahkah Melayu? kita telah menyusuri siapakah DAP. Di sini marilah kita menginsafi serta menghalusi lebih lanjut akan bahaya serta ideologi perjuangan DAP kepada Islam dan Melayu. DAP merupakan parti yang berasaskan sekularisme,sosialisme dan pluralisme. Kenapa demikian? Ianya kerana dalam perlembagaan DAP, yang merupakan dokumen tertinggi serta sumber rujukan rasmi parti, memaktubkan dalam klausa perlembagaannya bahawa ia mendokong kesemua yang dinyatakan. Mari kita halusi beberapa klausa penting perlembagaan DAP yang berkait rapat dengan dasar dan matlamatnya.

Sekularisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 2 Matlamat DAP berbunyi -"Mengesahkan   lagi   dan   memulihkan   Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia". 

Jelas DAP adalah pendokong sekularisme tulen dan sebab itulah DAP menolak sekeras - kerasnya sebarang usaha untuk menegakkan hudud atau negara Islam. Yang hairannya, kenapa PAS yang kononnya menegakkan Islam, boleh bersekongkol  dengan DAP dalam percaturan politiknya seterusnya mengeluarkan Watikah kepada DAP untuk menggunakan lambangnya dalam PRU - 13. Bukankan ini satu penghinaan kepada Islam itu sendiri? Tidakkah PAS sedar bahawa ia bersekongkol dengan musuh Islam, PAS yang berkokok lantang mahu menegakkan hudud dan negara Islam diperlekehkan oleh DAP. Tidak sedarkah PAS atau kerana kemaruk Putrajaya membutakan mata akan Perlembagaan DAP yang sudah memaktubkan sekularisme sebagai ideologi perjuangannya? Apakah prinsip Tahaluf Siyasi digunapakai PAS untuk menghalalkan hubungannya dengan DAP? Berbuihlah mulut Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS untuk menegakkan hudud yang tak mungkin DAP akan turuti kerana mustahil untuk DAP mengubah Perlembagaannya sendiri!


Pluralisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 4 Matlamat DAP - "Mengiktiraf  kebebasan  beragama  sebagai  hak  asasi yang  merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam  oleh  undang-undang  yang  bersifat  menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi"

Pluralisme menyamaratakan agama iaitu semua agama adalah sama disisi Allah tidak kira Islam, Kristian, Buddha dan agama lain. Tiada agama yang lebih tinggi, justeru itu tidak berdosa sekiranya seseorang itu menganut sebarang agama dan setiap orang berhak memilih agamanya sendiri tanpa sebarang paksaan. Inilah intipati perjuangan DAP yang mengiktiraf kebebasan beragama iaitu setiap orang bebas memilih agama yang hendak dianuti. Ini bermakna setiap orang termasuk Melayu bebas memilih agamanya. Pluralisme jelas terserlah pada DAP kerana ia tidak pernah menyebut, bahkan Perlembagaan DAP tiada sepatah perkataan mahupun sebaris ayat tertulis bahawa ia mengiktiraf, menjunjung atau mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi negara. Yang menjelekkan adalah pemimpin PAS termasuklah Nik Aziz mengatakan DAP sudah menerima Islam  dengan hanya berlandaskan DAP bersedia menggunakan lambang PAS sewaktu PRU. Hakikatnya, DAP memperjuangkan pluralisme, dan kerana itu DAP menyatakan Kalimah Allah milik semua. Yang menyedihkan, PAS yang berkokok tentang Islam, sanggup bersubahat dengan DAP dalam isu Kalimah Allah yang boleh digunapakai dalam Bible versi Melayu. Adalah tidak menghairankan PKR yang pemimpinnya dibelenggu dengan fahaman liberalisme dan pluralisme, menyokong kuat DAP dalam isu tersebut.


Sosialisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 10 Matlamat DAP - "Memberi   peluang   yang   saksama   dan   mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama". 

Dasar sosialisme DAP juga dijelaskan dalam Perkara 2 Matlamat DAP iaitu memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia. Inilah asas kepada prinsip Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP iaitu hak sama rata kepada semua kaum dalam semua bidang kehidupan. Inilah meritokrasi yang dilaungkan DAP bahawa hanya yang terbaik boleh diketengahkan yang bermakna hanya kelompok tertentu akan beroleh manfaat terutamanya bangsa Cina yang sudahpun menguasai ekonomi negara. Perjuangan DAP ini menafikan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak serta keistimewaan bangsa Melayu serta bumiputra di Sabah dan Sarawak.


Sudah jelas lagi bersuluh, DAP bertunjangkan sekularisme, pluralisme dan sosialisme. Ianya sudah termaktub dan terpahat sejak DAP ditubuhkan, malah dasar perjuangan ini telah berakar penuh dalam sanubari setiap pemimpin utamanya. Itulah sebab Karpal Singh, Pengerusi DAP menyatakan "Over my dead body" bagi sebarang usaha untuk melaksanakan hudud mahupun Islam di negara ini. Itulah faktor yang melingkari diri Joseph Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang lantang merperjuangkan Kalimah Allah untuk Kafir. Prinsip inilah juga yang menyebabkan Karpal Singh bercita - cita untuk melihat Bukan Melayu menjadi Perdana Menteri sebelum beliau mati. Liciknya DAP ialah ia berjaya mempergunakan Anwar yang sarat dengan masalah moral serta berfahaman liberal untuk sama -  sama mengheret PAS yang berlawanan ideologi dan prinsip untuk duduk semeja seterusnya mewujudkan Pakatan Haram, pada masa yang sama mencambahkan ideologi sekularisme, pluralisme serta sosialisme, di depan mata PAS sendiri.

Ironinya, DAP kononnya parti pelbagai kaum, tetapi hakikatnya DAP adalah parti rasis berteraskan Cina. Majoriti ahlinya adalah bangsa Cina malah lebih 80% pemimpinnya adalah Cina Kristian. Jika tidak, masakan Lim Kit Siang memilih untuk bertanding di  Gelang Patah, di mana majoriti pengundinya berbangsa Cina. 

Yang menyedihkan dan menghiris hati kita ialah PAS dan PKR yang majoritinya Islam Melayu tergamak senada dan sekata dengan DAP dalam merampas kepimpinan negara dalam PRU ini. Adakah mereka tidak tahu prinsip asas perjuangan DAP atau mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga dengan harapan menggunung untuk menakluki Putrajaya dan seterusnya menjadi Perdana Menteri boneka DAP? Tahaluf Siyasi PAS yang menyimpang jauh dari dasar Islam amat mengelirukan malah membahayakan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini. Sungguh tepat apabila Minda Pondok mengisytiharkan bahawa Haram mengundi PAS serta JATI menerusi Presidennya menyeru agar Umat Islam dan Melayu mengundi BN dan UMNO. 

Apakah kita Umat Islam dan Bangsa Melayu tergamak mengibar bendera DAP serta mengundi mereka dalam PRU? Adakah kita juga sanggup memangkah PAS dan PKR yang menggadaikan prinsip dan jati diri Islam dan Melayu kepada DAP hanya kerana mengidamkan Putrajaya serta kerusi empuk Perdana Menteri? Tidak mungkin DAP akan menuruti PAS mahupun PKR terutamanya daripada segi prinsip sekularisme, pluralisme dan sosialisme DAP. Apatah lagi konsep Malaysian Malaysia berasaskan meritokrasi, hak sama rata untuk semua inilah yang DAP mahu diserapkan dalam pentadbiran negara. Penulis telah menghantar berpuluh tweet kepada pemimpin tertinggi PAS termasuklah Mursyidul Am PAS, Nik Aziz berkenaan hakikat ikatan politik songsang yang amat merugikan Umat Islam dan Melayu ini (twitter.com/SampingWarisan).

Apakah nasib Islam, Bangsa Melayu serta anak cucu kita jika kita sanggup memberikan undi serta memenangkan DAP, PAS dan PKR sewaktu PRU ini? Jika kita memberikan walau satu undi kepada PR, bermakna kita menyokong fahaman sekularisme, pluralisme dan sekularisme DAP, kita juga bersubahat dalam mempermainkan Islam dan Kalimah Allah, kita bersetuju agar Bangsa Melayu dilucutkan keistimewaannya, kita redha Bangsa Melayu tercicir daripada arus kemajuan negara dan yang dahsyatnya anak cucu kita secara halus akan merempat di negaranya sendiri yang pernah dinamakan Tanah Melayu ! 

Justeru itu, kita mesti membulatkan tekad untuk menolak DAP serta menolak sebarang parti atau pakatan yang mempunyai kaitan dengan DAP termasuklah PAS dan PKR. Memenangkan PAS dan PKR yang masih dalam PR adalah memenangkan DAP dalam agenda politik licik dan membahayakan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini. Memangkah PR yang dianggotai DAP, PAS dan PKR adalah mengkhianati Islam dan Melayu, merelakan Islam terus dihina, menggalakkan pluralisme dan liberalisme, mengiyakan penafian serta penghapusan hak keistimewaan bangsa Melayu seterusnya merelakan institusi Melayu yang dipelihara selama ini digugat dan terhakis. DAP adalah parti chauvinis yang menabur racun serta menanti kesilapan percaturan Umat Islam dan Melayu dalam PRU. Oleh itu, Umat Islam dan Melayu wajib sedar sebelum ianya terlambat! Insaflah wahai Bangsaku!