Thursday, 10 October 2013

PEMILIHAN UMNO 2013 - PILIHLAH PEMIMPIN YANG MENJUNJUNG DASAR UMNO

DASAR UMNO : MENJUNJUNG 7 WASIAT RAJA – RAJA MELAYU DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. HIDUP MELAYU & KEMBALIKANLAH UMNO KEPADA FITRAHNYA

Pemimpin UMNO yang berpegang serta melaksanakan dasar UMNO adalah penjunjung 7 Wasiat Raja - Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan. Inilah pemimpin sejati UMNO, inilah pemimpin UMNO yang dinanti, yang wajar dipilih. Apakah pula persamaan 7 Wasiat, Perlembagaan Negara dan Dasar UMNO?

7 Wasiat Raja - Raja Melayu lahir daripada kesungguhan Raja - Raja Melayu untuk melindungi hak  keistimewaan Bangsa Melayu sebagai kaum Bumiputera di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Intipati 7  Wasiat antara lain mematerikan Islam sebagai Agama Persekutuan,  kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta kedaulatan Raja – Raja Melayu.

Wasiat ini telah dimaktubkan pula dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3  - Islam Agama Rasmi, Perkara 153 Hak Keistimewaan Bangsa Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Perkara 32 dan 38 Kuasa Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja – Raja.

Jadi, apakah dasar dan prinsip UMNO? Jelas sekali, dasar dan prinsip UMNO telah digariskan pada Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Dasar UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Dasar itu seterusnya diperkukuhkan dengan pernyataan tujuan UMNO yang utama adalah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, memajukan ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera khasnya,menjamin kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan, mendukung dan mempertahankan Raja Berpelembagaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang kuat berasaskan hak asasi manusia dan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Apakah persamaan utama antara Tujuh Wasiat, Perlembagaan Persekutuan dan dasar UMNO? Terang lagi bersuluh, Islam, Melayu dan Raja atau Alif Ba Ta Agama, Bangsa Dan Tanah Air itulah intinya. Ia adalah asas dan matlamat luhur yang termaktub baik dari segi undang – undang negara mahupun retoriknya. Pemimpin UMNO yang menjunjung dasar UMNO iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air sebenarnya menjunjung  7 Wasiat Raja – Raja Melayu serta Perlembagaan Persekutuan. Ia semestinya menjadi denyut nadi perjuangan setiap pemimpin UMNO, bukan sekadar menjadi agenda sampingan, lebih – lebih lagi pemimpin UMNO yang diberi jawatan Kerajaan mahupun Menteri.   Apakah hak  pemimpin UMNO sendiri untuk memperlekehkan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air yang kononya hanya sarat dengan retorik tanpa hasil yang jelas? 

Justeru, berilah peluang kepada pemimpin yang beretorik tentang Islam, Melayu dan Raja untuk memimpin UMNO. Natijahnya pasti hebat untuk Islam dan Melayu. Kerana apa? Kerana dari retorik, akan adalah perancangan khusus untuk Islam Melayu, pelaksanaan dengan strategi yang tersusun, seterusnya hasil yang menjurus kepada kejayaan memartabatkan Islam dan Melayu. Inilah definisi Melayu yang bemartabat, bukan sekadar menjadi penumpang dalam program Menteri atau Kerajaan. Ia mesti menjadi agenda khusus UMNO.

Pemimpin yang menjunjung dasar UMNO juga tahu bila hendak berundur, lebih – lebih untuk berundur secara terhormat apabila dipaliti masalah yang membebankan UMNO. Apatah lagi bila rakyat dan ahli UMNO melihat bahawa masalah yang melanda memberi kesan buruk  serta berpanjangan kepada perjuangan Alif Ba Ta UMNO.

Jelas sekali, UMNO bukan tempatnya untuk pemimpin liberal mahupun yang bermasalah sehingga membebankan UMNO. Hakikatnya, pemimpin yang melaungkan slogan Hidup Melayu mahupun Wassatiyyah Kembali Kepada Fitrah bukanlah pemimpin rasis mahupun pemimpin yang mendokongnya seorang ultra Melayu. Ia adalah sumpah setiap pemimpin UMNO, ianya perjuangan yang sah serta berdasarkan Perlembagaan Negara, yang paling hebat ianya menjunjung Raja - Raja Melayu melalui 7 Wasiat yang termaktub. Ianya  juga memberi isyarat yang jelas bahawa setiap pemimpin UMNO yang  mahu dipilih mestilah yang menjunjung Dasar UMNO yang sudah tersurat  dan tersirat dalam 7 Wasiat dan Perlembagaan Negara.


Hidup Melayu Dan Wassatiyyah Kembali Kepada Fitrah.

Friday, 4 October 2013

Pemilihan UMNO 2013 - Ke Arah Manakah Agama, Bangsa Dan Tanah Air?



Bahang pemilihan UMNO 2013 semakin jelas terasa. Tarikh 12 dan 19 Oktober 2013 merupakan tarikh penentu kepimpinan UMNO yang baru. Seramai 146,000 perwakilan yang akan mengundi semestinya sedang berfikir siapakah calon yang paling sesuai untuk dipilih menerajui kepimpinan UMNO Pusat.


Dalam memilih pemimpin UMNO, seharusnya kita bersifat objektif dan berfikir secara terbuka dan matang. Dalam setiap perkara, pasti ada asas dan kayu ukur dalam membuat keputusan. Dalam politik kepartian, kayu ukur yang utama adalah dasar dan asas perjuangan parti, yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Justeru, kayu ukur yang terbaik dalam memilih pemimpin UMNO adalah sejauh mana mereka memenuhi dan melaksanakan dasar dan asas parti. Pemimpin UMNO harus diukur dan wajar ada Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam mereka melaksanakan amanah berdasarkan dasar dan prinsip UMNO.

Jadi, apakah dasar dan prinsip UMNO? Jelas sekali, dasar dan prinsip UMNO telah digariskan pada Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Dasar UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Dasar itu seterusnya diperkukuhkan dengan pernyataan tujuan UMNO yang utama adalah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, memajukan ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera khasnya,menjamin kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan, mendukung dan mempertahankan Raja Berpelembagaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang kuat berasaskan hak asasi manusia dan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera. Ringkasnya, dasar dan asas UMNO adalah Alif Ba Ta iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air atau Islam, Melayu dan Raja. Inilah dasar luhur UMNO yang tidak terdapat pada parti Melayu yang lain sepeti PAS mahupun PKR.

Persoalannya, adakah pemimpin UMNO kini memperjuangkan dasar UMNO yang sudah termaktub dalam Perlembagaan? Apakah pencapaian para pemimpin UMNO dalam menjunjung dasar tersebut? Adakah  pemimpin UMNO ke hadapan dengan tegas mempertahan isu dan permasalahan yang menyentuh dasar UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja? Kenapa perlu ada NGO seperti PERKASA dan JATI yang dasarnya sama dengan UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja mempertahankan hak Umat Islam, Bangsa Melayu dan Raja ketika cauvinis mengasak daripada segenap penjuru untuk melemah dan menghina Islam, Melayu dan Raja? Adakah pemimpin UMNO benar – benar memperjuangkan dasar UMNO dengan penuh keikhlasan ataupun sekadar bermusim dalam meraih sokongan perwakilan dan pengundi? Adakah pemimpin UMNO kini wajar diberi amanah untuk terus memimpin parti? Jika ada pemimpin yang benar – benar menjunjung dasar UMNO, siapakah mereka agar bangsa Melayu dan perwakilan dapat menyerahkan amanah yang sungguh berat ini demi mendaulatkan Islam, memayungi bangsa Melayu dan menjunjung kasih Raja – Raja Melayu?

Realitinya, pemimpin UMNO terperangkap dalam keutamaan antara perjuangan untuk rakyat Malaysia menerusi BN atau perjuangan menjunjung dasar UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja. Ramai pemimpin UMNO memilih untuk tidak kehadapan dalam isu dan perkara yang menyentuh kemuliaan Islam, hak keistimewaan bangsa Melayu dan kedaulatan Raja – Raja Melayu. Pendekatan liberal menjadi pilihan serta sikap mengelak daripada dilabel ultra atau rasis menjadi halangan untuk ke hadapan. Padahal, jika pemimpin UMNO menjunjung dasar UMNO, mereka adalah yang pertama akan ke hadapan mengetuai dan mempertahan sebarang cubaan untuk menggugat dan menghina Islam, Melayu dan Raja. Perjuangan inilah yang telah hilang daripada ramai pemimpin UMNO. Jelas, peranan utama untuk mempertahankan dasar UMNO kini telah diambil alih oleh NGO Islam Melayu seperti PERKASA dan JATI.

Perwakilan perlu sedar bahawa pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi adalah pemilihan UMNO dan bukannya pemilihan BN. Walaupun BN adalah Kerajaan yang memerintah dan UMNO merupakan parti komponen BN, jelas sekali tanpa UMNO, maka tiadalah BN memerintah negara ini. Justeru, adalah wajar penekanan dan penilaian diberi sejauh mana pemimpin UMNO mendahulukan kepentingan Islam, Melayu dan Raja dan pencapaian yang telah dicapai dalam mendaulatkan dasar UMNO sepanjang menjadi pemimpin UMNO.

Pemilihan UMNO kali ini juga akan mencorakkan serta menjadi penentu kesinambungan UMNO dalam menerajui BN memerintah negara pada pilihan raya akan datang. Bangsa Melayu akan kuat jika ia memiliki pemimpin UMNO yang mendakap dasar UMNO itu sendiri iaitu Islam, Melayu dan Raja. Bangsa  Melayu yang menjadi penentu utama kesinambungan pemerintahan UMNO dan BN pada pilihan raya yang lalu sesungguhnya mendambakan pemimpin UMNO yang kukuh jati diri Melayu, berjiwa dan berhati Melayu untuk menjunjung dan melaksanakan dasar UMNO. Sokongan padu bangsa Melayu pada PRU 14 adalah bergantung kepada siapa perwakilan pilih untuk memimpin UMNO pada 12 dan 19 Oktober 2013 ini.

Dengan keinsafan yang mendalam pada nasib anak bangsa, pada pengamatan penulis, calon pemimpin utama UMNO bagi Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang wajar diberi peluang untuk menjunjung dan melaksanakan dasar UMNO yang termaktub adalah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Mukhriz Mahathir, Sdr Akhramsyah Sanusi serta Pn Raihan Suleiman Palestin. Semoga UMNO akan kembali menjunjung dasar luhurnya Alif BaTa iaitu Islam, Melayu dan Raja yang terhakis di telan zaman. Insaflah Bangsaku.

Saturday, 27 April 2013

PRU 13 - TOLAK DAP DAN BONEKANYA!

Inilah matlamat DAP yang akan lebih mudah tercapai melalui PAS dan PKR
Debaran PRU 13 akan terlerai pada 5 Mei 2013 apabila SPR bakal mengumumkan parti yang memenangi majoriti untuk membentuk Kerajaan. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan. BN yang sudah mentadbir negara hampir 56 tahun menghadapi tentangan daripada pakatan tidak berdaftar, Pakatan Rakyat dianggotai 3 parti pelbagai ideologi bertentangan    iaitu DAP, PKR dan PAS. Pakatan Rakyat yang jelas ditunjangi DAP dengan memperkudakan PAS dan PKR, parti majoriti ahlinya Melayu Islam. DAP tunjang PR kerana banyak perkara dasar PR dibayangi dan dipengaruhi DAP antaranya isu Kalimah Allah, pemecatan Presiden JATI daripada PAS, penentuan siapa Perdana Menteri jika PR memerintah negara serta DAP memiliki kerusi terbanyak PR di Parlimen pasca PRU 12.

Pada siri penulisan yang lalu, PRU 13- Melayu di Persimpangan Jalan! Rebahkah Melayu? kita telah menyusuri siapakah DAP. Di sini marilah kita menginsafi serta menghalusi lebih lanjut akan bahaya serta ideologi perjuangan DAP kepada Islam dan Melayu. DAP merupakan parti yang berasaskan sekularisme,sosialisme dan pluralisme. Kenapa demikian? Ianya kerana dalam perlembagaan DAP, yang merupakan dokumen tertinggi serta sumber rujukan rasmi parti, memaktubkan dalam klausa perlembagaannya bahawa ia mendokong kesemua yang dinyatakan. Mari kita halusi beberapa klausa penting perlembagaan DAP yang berkait rapat dengan dasar dan matlamatnya.

Sekularisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 2 Matlamat DAP berbunyi -"Mengesahkan   lagi   dan   memulihkan   Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia". 

Jelas DAP adalah pendokong sekularisme tulen dan sebab itulah DAP menolak sekeras - kerasnya sebarang usaha untuk menegakkan hudud atau negara Islam. Yang hairannya, kenapa PAS yang kononnya menegakkan Islam, boleh bersekongkol  dengan DAP dalam percaturan politiknya seterusnya mengeluarkan Watikah kepada DAP untuk menggunakan lambangnya dalam PRU - 13. Bukankan ini satu penghinaan kepada Islam itu sendiri? Tidakkah PAS sedar bahawa ia bersekongkol dengan musuh Islam, PAS yang berkokok lantang mahu menegakkan hudud dan negara Islam diperlekehkan oleh DAP. Tidak sedarkah PAS atau kerana kemaruk Putrajaya membutakan mata akan Perlembagaan DAP yang sudah memaktubkan sekularisme sebagai ideologi perjuangannya? Apakah prinsip Tahaluf Siyasi digunapakai PAS untuk menghalalkan hubungannya dengan DAP? Berbuihlah mulut Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS untuk menegakkan hudud yang tak mungkin DAP akan turuti kerana mustahil untuk DAP mengubah Perlembagaannya sendiri!


Pluralisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 4 Matlamat DAP - "Mengiktiraf  kebebasan  beragama  sebagai  hak  asasi yang  merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam  oleh  undang-undang  yang  bersifat  menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi"

Pluralisme menyamaratakan agama iaitu semua agama adalah sama disisi Allah tidak kira Islam, Kristian, Buddha dan agama lain. Tiada agama yang lebih tinggi, justeru itu tidak berdosa sekiranya seseorang itu menganut sebarang agama dan setiap orang berhak memilih agamanya sendiri tanpa sebarang paksaan. Inilah intipati perjuangan DAP yang mengiktiraf kebebasan beragama iaitu setiap orang bebas memilih agama yang hendak dianuti. Ini bermakna setiap orang termasuk Melayu bebas memilih agamanya. Pluralisme jelas terserlah pada DAP kerana ia tidak pernah menyebut, bahkan Perlembagaan DAP tiada sepatah perkataan mahupun sebaris ayat tertulis bahawa ia mengiktiraf, menjunjung atau mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi negara. Yang menjelekkan adalah pemimpin PAS termasuklah Nik Aziz mengatakan DAP sudah menerima Islam  dengan hanya berlandaskan DAP bersedia menggunakan lambang PAS sewaktu PRU. Hakikatnya, DAP memperjuangkan pluralisme, dan kerana itu DAP menyatakan Kalimah Allah milik semua. Yang menyedihkan, PAS yang berkokok tentang Islam, sanggup bersubahat dengan DAP dalam isu Kalimah Allah yang boleh digunapakai dalam Bible versi Melayu. Adalah tidak menghairankan PKR yang pemimpinnya dibelenggu dengan fahaman liberalisme dan pluralisme, menyokong kuat DAP dalam isu tersebut.


Sosialisme - Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 10 Matlamat DAP - "Memberi   peluang   yang   saksama   dan   mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama". 

Dasar sosialisme DAP juga dijelaskan dalam Perkara 2 Matlamat DAP iaitu memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia. Inilah asas kepada prinsip Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP iaitu hak sama rata kepada semua kaum dalam semua bidang kehidupan. Inilah meritokrasi yang dilaungkan DAP bahawa hanya yang terbaik boleh diketengahkan yang bermakna hanya kelompok tertentu akan beroleh manfaat terutamanya bangsa Cina yang sudahpun menguasai ekonomi negara. Perjuangan DAP ini menafikan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak serta keistimewaan bangsa Melayu serta bumiputra di Sabah dan Sarawak.


Sudah jelas lagi bersuluh, DAP bertunjangkan sekularisme, pluralisme dan sosialisme. Ianya sudah termaktub dan terpahat sejak DAP ditubuhkan, malah dasar perjuangan ini telah berakar penuh dalam sanubari setiap pemimpin utamanya. Itulah sebab Karpal Singh, Pengerusi DAP menyatakan "Over my dead body" bagi sebarang usaha untuk melaksanakan hudud mahupun Islam di negara ini. Itulah faktor yang melingkari diri Joseph Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang lantang merperjuangkan Kalimah Allah untuk Kafir. Prinsip inilah juga yang menyebabkan Karpal Singh bercita - cita untuk melihat Bukan Melayu menjadi Perdana Menteri sebelum beliau mati. Liciknya DAP ialah ia berjaya mempergunakan Anwar yang sarat dengan masalah moral serta berfahaman liberal untuk sama -  sama mengheret PAS yang berlawanan ideologi dan prinsip untuk duduk semeja seterusnya mewujudkan Pakatan Haram, pada masa yang sama mencambahkan ideologi sekularisme, pluralisme serta sosialisme, di depan mata PAS sendiri.

Ironinya, DAP kononnya parti pelbagai kaum, tetapi hakikatnya DAP adalah parti rasis berteraskan Cina. Majoriti ahlinya adalah bangsa Cina malah lebih 80% pemimpinnya adalah Cina Kristian. Jika tidak, masakan Lim Kit Siang memilih untuk bertanding di  Gelang Patah, di mana majoriti pengundinya berbangsa Cina. 

Yang menyedihkan dan menghiris hati kita ialah PAS dan PKR yang majoritinya Islam Melayu tergamak senada dan sekata dengan DAP dalam merampas kepimpinan negara dalam PRU ini. Adakah mereka tidak tahu prinsip asas perjuangan DAP atau mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga dengan harapan menggunung untuk menakluki Putrajaya dan seterusnya menjadi Perdana Menteri boneka DAP? Tahaluf Siyasi PAS yang menyimpang jauh dari dasar Islam amat mengelirukan malah membahayakan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini. Sungguh tepat apabila Minda Pondok mengisytiharkan bahawa Haram mengundi PAS serta JATI menerusi Presidennya menyeru agar Umat Islam dan Melayu mengundi BN dan UMNO. 

Apakah kita Umat Islam dan Bangsa Melayu tergamak mengibar bendera DAP serta mengundi mereka dalam PRU? Adakah kita juga sanggup memangkah PAS dan PKR yang menggadaikan prinsip dan jati diri Islam dan Melayu kepada DAP hanya kerana mengidamkan Putrajaya serta kerusi empuk Perdana Menteri? Tidak mungkin DAP akan menuruti PAS mahupun PKR terutamanya daripada segi prinsip sekularisme, pluralisme dan sosialisme DAP. Apatah lagi konsep Malaysian Malaysia berasaskan meritokrasi, hak sama rata untuk semua inilah yang DAP mahu diserapkan dalam pentadbiran negara. Penulis telah menghantar berpuluh tweet kepada pemimpin tertinggi PAS termasuklah Mursyidul Am PAS, Nik Aziz berkenaan hakikat ikatan politik songsang yang amat merugikan Umat Islam dan Melayu ini (twitter.com/SampingWarisan).

Apakah nasib Islam, Bangsa Melayu serta anak cucu kita jika kita sanggup memberikan undi serta memenangkan DAP, PAS dan PKR sewaktu PRU ini? Jika kita memberikan walau satu undi kepada PR, bermakna kita menyokong fahaman sekularisme, pluralisme dan sekularisme DAP, kita juga bersubahat dalam mempermainkan Islam dan Kalimah Allah, kita bersetuju agar Bangsa Melayu dilucutkan keistimewaannya, kita redha Bangsa Melayu tercicir daripada arus kemajuan negara dan yang dahsyatnya anak cucu kita secara halus akan merempat di negaranya sendiri yang pernah dinamakan Tanah Melayu ! 

Justeru itu, kita mesti membulatkan tekad untuk menolak DAP serta menolak sebarang parti atau pakatan yang mempunyai kaitan dengan DAP termasuklah PAS dan PKR. Memenangkan PAS dan PKR yang masih dalam PR adalah memenangkan DAP dalam agenda politik licik dan membahayakan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini. Memangkah PR yang dianggotai DAP, PAS dan PKR adalah mengkhianati Islam dan Melayu, merelakan Islam terus dihina, menggalakkan pluralisme dan liberalisme, mengiyakan penafian serta penghapusan hak keistimewaan bangsa Melayu seterusnya merelakan institusi Melayu yang dipelihara selama ini digugat dan terhakis. DAP adalah parti chauvinis yang menabur racun serta menanti kesilapan percaturan Umat Islam dan Melayu dalam PRU. Oleh itu, Umat Islam dan Melayu wajib sedar sebelum ianya terlambat! Insaflah wahai Bangsaku!

Saturday, 23 March 2013

PRU 13 - KETUANAN MELAYU ATAU CINA?


Malaysia di ambang Pilihanraya. Pilihanraya akan diadakan pada bila – bila masa apabila Yang Di Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen. Sementara kita menanti tarikh pembubaran Parlimen serta tarikh pengundian, marilah kita Umat Islam dan Bangsa Melayu merenung sejenak ke arah manakah bumi ini, hak Bangsa Melayu ini hendak di bawa, apakah bentuk negara yang hendak kita wariskan kepada anak bangsa kita. Justeru itu, dalam memilih parti mana yang hendak diundi sewaktu PRU 13, bangsa Melayu mestilah berfikir secara mendalam tentang kesinambungan Islam serta perjuangan Bangsa yang mesti dipertahankan sehingga akhir hayat.

Kita semua maklum, Bangsa Melayu telah berpecah kepada tiga iaitu UMNO, PAS dan PKR. UMNO merupakan komponen utama utama Barisan Nasional yang berdaftar sementara PAS dan PKR merupakan  ahli Pakatan Rakyat yang tidak berdaftar serta turut dianggotai DAP. Dalam kita menentukan pilihan kita, perkara asas yang mesti kita teliti adalah matlamat dan prinsip utama perjuangan parti yang bertanding.  Perlembagaan Parti merupakan dokumen penting untuk kita merujuk apakah perkara asas yang diperjuangkan serta halatuju. Pada masa yang sama, kita perlulah mengkaji realitinya iaitu sama ada prinsip dan matlamat parti itu diperjuangkan atau sekadar menjadi tulisan semata-mata.

Marilah kita merenung sejenak apakah matlamat dan prinsip utama UMNO, PAS dan PKR serta hakikat sebenar ditakuk manakah mereka berada.

UMNO
PAS
PKR
Matlamat
Mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Mewujud sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Membawa kesejahteraan, keadilan sosial, pengembangan ekonomi yang mapan dan agihan kekayaan negara yang saksama.
Prinsip Utama
Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara.

Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.
Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen.
Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam   mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin.
Islam
Menegak, mempertahan & mengembangkan Islam.
Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.
Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan.
Melayu
Memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia.
Mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak digunakan khusus untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar.
Raja Berpelembagaan
Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri -Negeri dan Raja Berpelembagaan.
Tiada dinyatakan dalam Perlembagaan.
Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen.
 Bahasa
Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa Al-Quran.
Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain.
REALITI
Peranan

Islam












Melayu

UMNO tunjang BN

Pertahan kesucian Islam.

Pendekatan Wasatiyyah dalam pentadbiran negara.







Mempertahan hak keistimewaan Bangsa Melayu

DAP tunjang PR

Menggugurkan hasrat untuk menubuhkan negara Islam. 

Gagal mempertahankan kesucian Islam. Contoh: Isu Kalimah Allah.

Hukum hudud PAS ditentang  DAP.


Tidak mendokong Melayu dalam Perlembagaan.

DAP tunjang PR

Menyokong Kebebasan   beragama untuk Melayu.










Berhasrat mengkaji hak keistimewaan bangsa Melayu

Apa yang tertera di atas merupakan inti serta realiti perjuangan UMNO, PAS dan PKR. Sebenarnya, banyak lagi yang boleh dikupas tetapi tujuan penulisan ini hanyalah untuk membuka hati dan minda Umat Islam dan Bangsa Melayu untuk berfikir dengan jauh sebelum ke Pusat Pengundian. Apa yang jelas, PAS telah menjadi pengikut dalam tahaluf siyasinya dengan DAP, parti yang jelas dalam perlembagaannya menyamaratakan setiap agama dan mendokong pluralisme. Sila rujuk penulisan terdahulu iaitu Melayu di Persimpangan Jalan - Rebahkah Melayu? untuk kita mengetahui siapakah dan apakah perjuangan DAP.

PKR pula jelas mempunyai ideologi seakan DAP tidak boleh diharapkan untuk memperjuangkan Islam serta mempertahankan hak keistimewaan Bangsa Melayu kerana apa yang berlaku sekarang ini adalah PKR menyokong penuh penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian serta berhasrat untuk mengkaji hak keistimewaan bangsa Melayu. Yang lebih jelas adalah DAP merupakan tunjang Pakatan Rakyat pasti akan mendominasi halatuju pemerintahan negara. Dengan menyerahkan pemerintahan negara kepada Pakatan Rakyat, ini bermakna Bangsa Melayu telah merelakan bermulanya Ketuanan Cina di bumi Malaysia ini. Kuasa politik yang hilang amat sukar untuk diambil kembali kerana apabila Bangsa Cina yang sudahpun menguasai ekonomi, diberi pula kuasa politik, sudah pasti akan mengerah serta melaksanakan dasar - dasar yang pasti akan mengukuhkan Ketuanan Cina dengan memperkudakan Bangsa Melayu yang berada dalam PAS dan PKR.

Apakah pilihan kita, Ketuanan Cina atau Ketuanan Melayu? Tepuk dada, tanyalah Iman dan fikiran kita. Insaflah Wahai Bangsaku!