Friday, 4 October 2013

Pemilihan UMNO 2013 - Ke Arah Manakah Agama, Bangsa Dan Tanah Air?



Bahang pemilihan UMNO 2013 semakin jelas terasa. Tarikh 12 dan 19 Oktober 2013 merupakan tarikh penentu kepimpinan UMNO yang baru. Seramai 146,000 perwakilan yang akan mengundi semestinya sedang berfikir siapakah calon yang paling sesuai untuk dipilih menerajui kepimpinan UMNO Pusat.


Dalam memilih pemimpin UMNO, seharusnya kita bersifat objektif dan berfikir secara terbuka dan matang. Dalam setiap perkara, pasti ada asas dan kayu ukur dalam membuat keputusan. Dalam politik kepartian, kayu ukur yang utama adalah dasar dan asas perjuangan parti, yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Justeru, kayu ukur yang terbaik dalam memilih pemimpin UMNO adalah sejauh mana mereka memenuhi dan melaksanakan dasar dan asas parti. Pemimpin UMNO harus diukur dan wajar ada Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam mereka melaksanakan amanah berdasarkan dasar dan prinsip UMNO.

Jadi, apakah dasar dan prinsip UMNO? Jelas sekali, dasar dan prinsip UMNO telah digariskan pada Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Dasar UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Dasar itu seterusnya diperkukuhkan dengan pernyataan tujuan UMNO yang utama adalah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, memajukan ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera khasnya,menjamin kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan, mendukung dan mempertahankan Raja Berpelembagaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang kuat berasaskan hak asasi manusia dan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera. Ringkasnya, dasar dan asas UMNO adalah Alif Ba Ta iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air atau Islam, Melayu dan Raja. Inilah dasar luhur UMNO yang tidak terdapat pada parti Melayu yang lain sepeti PAS mahupun PKR.

Persoalannya, adakah pemimpin UMNO kini memperjuangkan dasar UMNO yang sudah termaktub dalam Perlembagaan? Apakah pencapaian para pemimpin UMNO dalam menjunjung dasar tersebut? Adakah  pemimpin UMNO ke hadapan dengan tegas mempertahan isu dan permasalahan yang menyentuh dasar UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja? Kenapa perlu ada NGO seperti PERKASA dan JATI yang dasarnya sama dengan UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja mempertahankan hak Umat Islam, Bangsa Melayu dan Raja ketika cauvinis mengasak daripada segenap penjuru untuk melemah dan menghina Islam, Melayu dan Raja? Adakah pemimpin UMNO benar – benar memperjuangkan dasar UMNO dengan penuh keikhlasan ataupun sekadar bermusim dalam meraih sokongan perwakilan dan pengundi? Adakah pemimpin UMNO kini wajar diberi amanah untuk terus memimpin parti? Jika ada pemimpin yang benar – benar menjunjung dasar UMNO, siapakah mereka agar bangsa Melayu dan perwakilan dapat menyerahkan amanah yang sungguh berat ini demi mendaulatkan Islam, memayungi bangsa Melayu dan menjunjung kasih Raja – Raja Melayu?

Realitinya, pemimpin UMNO terperangkap dalam keutamaan antara perjuangan untuk rakyat Malaysia menerusi BN atau perjuangan menjunjung dasar UMNO iaitu Islam, Melayu dan Raja. Ramai pemimpin UMNO memilih untuk tidak kehadapan dalam isu dan perkara yang menyentuh kemuliaan Islam, hak keistimewaan bangsa Melayu dan kedaulatan Raja – Raja Melayu. Pendekatan liberal menjadi pilihan serta sikap mengelak daripada dilabel ultra atau rasis menjadi halangan untuk ke hadapan. Padahal, jika pemimpin UMNO menjunjung dasar UMNO, mereka adalah yang pertama akan ke hadapan mengetuai dan mempertahan sebarang cubaan untuk menggugat dan menghina Islam, Melayu dan Raja. Perjuangan inilah yang telah hilang daripada ramai pemimpin UMNO. Jelas, peranan utama untuk mempertahankan dasar UMNO kini telah diambil alih oleh NGO Islam Melayu seperti PERKASA dan JATI.

Perwakilan perlu sedar bahawa pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi adalah pemilihan UMNO dan bukannya pemilihan BN. Walaupun BN adalah Kerajaan yang memerintah dan UMNO merupakan parti komponen BN, jelas sekali tanpa UMNO, maka tiadalah BN memerintah negara ini. Justeru, adalah wajar penekanan dan penilaian diberi sejauh mana pemimpin UMNO mendahulukan kepentingan Islam, Melayu dan Raja dan pencapaian yang telah dicapai dalam mendaulatkan dasar UMNO sepanjang menjadi pemimpin UMNO.

Pemilihan UMNO kali ini juga akan mencorakkan serta menjadi penentu kesinambungan UMNO dalam menerajui BN memerintah negara pada pilihan raya akan datang. Bangsa Melayu akan kuat jika ia memiliki pemimpin UMNO yang mendakap dasar UMNO itu sendiri iaitu Islam, Melayu dan Raja. Bangsa  Melayu yang menjadi penentu utama kesinambungan pemerintahan UMNO dan BN pada pilihan raya yang lalu sesungguhnya mendambakan pemimpin UMNO yang kukuh jati diri Melayu, berjiwa dan berhati Melayu untuk menjunjung dan melaksanakan dasar UMNO. Sokongan padu bangsa Melayu pada PRU 14 adalah bergantung kepada siapa perwakilan pilih untuk memimpin UMNO pada 12 dan 19 Oktober 2013 ini.

Dengan keinsafan yang mendalam pada nasib anak bangsa, pada pengamatan penulis, calon pemimpin utama UMNO bagi Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang wajar diberi peluang untuk menjunjung dan melaksanakan dasar UMNO yang termaktub adalah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Mukhriz Mahathir, Sdr Akhramsyah Sanusi serta Pn Raihan Suleiman Palestin. Semoga UMNO akan kembali menjunjung dasar luhurnya Alif BaTa iaitu Islam, Melayu dan Raja yang terhakis di telan zaman. Insaflah Bangsaku.

No comments:

Post a Comment