Thursday, 10 October 2013

PEMILIHAN UMNO 2013 - PILIHLAH PEMIMPIN YANG MENJUNJUNG DASAR UMNO

DASAR UMNO : MENJUNJUNG 7 WASIAT RAJA – RAJA MELAYU DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. HIDUP MELAYU & KEMBALIKANLAH UMNO KEPADA FITRAHNYA

Pemimpin UMNO yang berpegang serta melaksanakan dasar UMNO adalah penjunjung 7 Wasiat Raja - Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan. Inilah pemimpin sejati UMNO, inilah pemimpin UMNO yang dinanti, yang wajar dipilih. Apakah pula persamaan 7 Wasiat, Perlembagaan Negara dan Dasar UMNO?

7 Wasiat Raja - Raja Melayu lahir daripada kesungguhan Raja - Raja Melayu untuk melindungi hak  keistimewaan Bangsa Melayu sebagai kaum Bumiputera di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Intipati 7  Wasiat antara lain mematerikan Islam sebagai Agama Persekutuan,  kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta kedaulatan Raja – Raja Melayu.

Wasiat ini telah dimaktubkan pula dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3  - Islam Agama Rasmi, Perkara 153 Hak Keistimewaan Bangsa Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Perkara 32 dan 38 Kuasa Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja – Raja.

Jadi, apakah dasar dan prinsip UMNO? Jelas sekali, dasar dan prinsip UMNO telah digariskan pada Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Dasar UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Dasar itu seterusnya diperkukuhkan dengan pernyataan tujuan UMNO yang utama adalah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, memajukan ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera khasnya,menjamin kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan, mendukung dan mempertahankan Raja Berpelembagaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang kuat berasaskan hak asasi manusia dan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Apakah persamaan utama antara Tujuh Wasiat, Perlembagaan Persekutuan dan dasar UMNO? Terang lagi bersuluh, Islam, Melayu dan Raja atau Alif Ba Ta Agama, Bangsa Dan Tanah Air itulah intinya. Ia adalah asas dan matlamat luhur yang termaktub baik dari segi undang – undang negara mahupun retoriknya. Pemimpin UMNO yang menjunjung dasar UMNO iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air sebenarnya menjunjung  7 Wasiat Raja – Raja Melayu serta Perlembagaan Persekutuan. Ia semestinya menjadi denyut nadi perjuangan setiap pemimpin UMNO, bukan sekadar menjadi agenda sampingan, lebih – lebih lagi pemimpin UMNO yang diberi jawatan Kerajaan mahupun Menteri.   Apakah hak  pemimpin UMNO sendiri untuk memperlekehkan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air yang kononya hanya sarat dengan retorik tanpa hasil yang jelas? 

Justeru, berilah peluang kepada pemimpin yang beretorik tentang Islam, Melayu dan Raja untuk memimpin UMNO. Natijahnya pasti hebat untuk Islam dan Melayu. Kerana apa? Kerana dari retorik, akan adalah perancangan khusus untuk Islam Melayu, pelaksanaan dengan strategi yang tersusun, seterusnya hasil yang menjurus kepada kejayaan memartabatkan Islam dan Melayu. Inilah definisi Melayu yang bemartabat, bukan sekadar menjadi penumpang dalam program Menteri atau Kerajaan. Ia mesti menjadi agenda khusus UMNO.

Pemimpin yang menjunjung dasar UMNO juga tahu bila hendak berundur, lebih – lebih untuk berundur secara terhormat apabila dipaliti masalah yang membebankan UMNO. Apatah lagi bila rakyat dan ahli UMNO melihat bahawa masalah yang melanda memberi kesan buruk  serta berpanjangan kepada perjuangan Alif Ba Ta UMNO.

Jelas sekali, UMNO bukan tempatnya untuk pemimpin liberal mahupun yang bermasalah sehingga membebankan UMNO. Hakikatnya, pemimpin yang melaungkan slogan Hidup Melayu mahupun Wassatiyyah Kembali Kepada Fitrah bukanlah pemimpin rasis mahupun pemimpin yang mendokongnya seorang ultra Melayu. Ia adalah sumpah setiap pemimpin UMNO, ianya perjuangan yang sah serta berdasarkan Perlembagaan Negara, yang paling hebat ianya menjunjung Raja - Raja Melayu melalui 7 Wasiat yang termaktub. Ianya  juga memberi isyarat yang jelas bahawa setiap pemimpin UMNO yang  mahu dipilih mestilah yang menjunjung Dasar UMNO yang sudah tersurat  dan tersirat dalam 7 Wasiat dan Perlembagaan Negara.


Hidup Melayu Dan Wassatiyyah Kembali Kepada Fitrah.

No comments:

Post a Comment