Assalamualaikum dan Salam Perjuangan,
Melayu sememangnya terikat dengan Islam. Islam merupakan jati diri Melayu kerana itulah yang membezakannya daripada bangsa yang lain. Pejuang - pejuang ulung negara terdahulu sedar betapa pentingnya untuk mematerikan ikatan bahawa Melayu itu tidak dapat dipisahkan daripada Islam. Oleh itu, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memaktubkan bahawa Melayu itu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu serta berbahasa Melayu.
Namun, telah wujud di negara ini mereka yang mengamalkan pluralisme iaitu semua agama adalah sama disisi Allah tidak kira Islam, Kristian, Buddha dan agama lain. Tiada agama yang lebih tinggi, justeru itu tidak berdosa sekiranya seseorang itu menganut sebarang agama dan setiap orang berhak memilih agamanya sendiri tanpa sebarang paksaan. Justeru itu, bagi pluralisme, tidak salah sekiranya seorang Islam itu berkahwin dengan seorang Kristian mahupun Buddha, Taoism dan sebagainya serta anak yang lahir itu berhak memilih agamanya bila ia berumur 18 tahun ke atas. Inilah juga yang diperjuangkan oleh Interfaith Commission agar ianya menjadi amalan yang diterimapakai di Malaysia.
Fahaman pluralisme ini jelas bercanggah dengan Islam. Islam merupakan cara hidup yang universal jauh mengatasi mana - mana pegangan serta agama lain di dunia ini sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Imran Ayat 19 yang berbunyi "Agama disisi Allah hanyalah Islam."Justeru, bangsa Melayu amat beruntung kerana dianugerahkan dengan nikmat Islam dan seterusnya nikmat Iman serta mengamalkan cara hidup Islam sebagaimana firmanNya "Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah Syaitan kerana ia musuh kamu yang nyata"(Al-Baqarah ayat 108).
Justeru itu, bangsa Melayu perlulah menyedari tentang ancaman yang silih berganti terutamanya yang melibatkan ittiqad dan kepercayaan kita terhadap kesyumulan Islam dan ketinggian martabat Agama yang menjadi teras bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Sebarang usaha untuk meruntuhkan tembok Islam daripada Melayu ataupun bersekongkol dengan golongan yang cuba menerapkan fahaman pluralisme ini merupakan satu penghinaan kepada Islam itu sendiri. Juga, ianya jelas mencabar Perlembagaan Persekutuan yang telah memateri kemas kedudukan bangsa Melayu disisi Islam. Insaflah wahai Bangsaku!
No comments:
Post a Comment