Friday, 7 December 2012

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu




Tujuh Wasiat Raja - Raja Melayu lahir daripada kesungguhan Raja -Raja Melayu untuk melindungi hak  keistimewaan Bangsa Melayu sebagai kaum Bumiputera di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya terhasil daripada intipati Kontrak Sosial yang disepakati antara kaum - kaum utama di Tanah Melayu ketika penyusunan Perlembagaan Persekutuan 1957 melalui konsep ‘quid pro quo’ (beri – memberi), berdasarkan Perkara 14 -18 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu.

Tujuh Wasiat Raja - Raja Melayu berbunyi seperti berikut :

1) Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
2) Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung - ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama - sama kaum lain.
3) Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar negara.
4) Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja - Raja Melayu memerintah negara ini.
5) Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan.
6) Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
7) Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja - Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Sesungguhnya, Tujuh Wasiat Raja - Raja Melayu diperkukuhkan lagi dengan Ikrar perlantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dirakamkan Ikrar bersejarah yang dilafazkan sempena istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda yang ke 14 : 
“Bismillahhirrahmannirrahim. Beta Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan izinNya Beta telah dipilih sebagai Yang di – Pertuan Agong. Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang – undang dan Perlembagaan negara, serta memelihara dengan sempurnanya setiap masa, Agama Islam, dan berdiri teguh  di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara”.  – Ikrar Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, sempena istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di – Pertuan Agong ke 14 pada 11 April 2012.
Kita sebagai bangsa Melayu mesti mempertahankan institusi Raja serta mempertahankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia. Ianya tersimpul pada Tujuh Wasiat Raja – Raja Melayu yang membawa maksud serta hakikat yang mendalam bahawa Majlis Raja – Raja dan Seri Paduka Baginda Yang di – Pertuan Agong merupakan payung kepada kaum Bumiputera terutamanya Bangsa Melayu serta benteng terakhir bagi mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, hak serta keistimewaan Bangsa Melayu serta Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Tentanglah habis-habisan sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Republik! Insaflah wahai bangsaku!

No comments:

Post a Comment